Search

Aktiviti Seronok Cuti Sekolah: Permainan “Belon Ping Pong”

Updated: Oct 14, 2019

Assalamualaikum, semua! Cuti sekolah dah pun bermula. Apa rancangan ibu bapa untuk cuti sekolah ni? Mungkin ada yang dah merancang untuk makan angin dan mungkin ada yang berehat di rumah sahaja. Tapi, tak apa! Duduk di rumah pun boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan sekiranya diisi dengan pelbagai aktiviti.


Cuti sekolah sebenarnya antara peluang terbaik kita untuk merapatkan hubungan dengan anak-anak. Tak salah untuk kita membenarkan anak-anak bermain menonton televisyen atau bermain dengan gadget dalam keadaan terkawal. Tetapi sebaiknya apa kata kita luangkan sedikit masa untuk bermain dengan mereka pula. Sempena cuti sekolah kali ini, jom kita melakukan sedikit aktiviti mudah tetapi pasti akan membuatkan anak-anak anda rasa seronok!

Perasan tak dalam video “Alhamdulillah” Omar dan Hana sedang bermain-main di luar rumah? Tahu tak itu permainan apa? Haaaa! Itulah permainan “Belon Ping Pong” ! Sebenarnya, permainan ini boleh buat sendiri dengan menggunakan apa yang ada di rumah. Anda memerlukan: 1. 2 pinggan kertas 2. Bola ping pong 3. Kayu kraf/craft sticks (boleh didapati di kedai alat tulis) 4. Krayon atau pensel warna 5. Gunting 6. Pita selofan Langkah #1


Hias pinggan kertas mengikut kreativiti. Galakkan kreativiti mereka dengan memberi kebebasan mereka berkarya! Tak perlu bimbang sama ada apa yang mereka lukis itu cantik atau tidak. Yang penting adalah proses/nilai kesenian yang kita ingin terapkan. Langkah #2


Lekatkan kayu kraf atau craft sticks itu pada bahagian bawah kertas pinggan. Anda boleh gunakan kayu ais krim ataupun kad bod yang cukup keras untuk memukul belon. Anda juga boleh tolong anak-anak anda potong kotak yang terpakai untuk dijadikan pemegang.


Langkah #3


Langkah terakhir merupakan langkah yang paling menyeronokkan untuk kanak-kanak. Suruh mereka tiup 1 atau 2 biji belon. Gunakan belon ini sebagai “bola” dalam permainan ini. Aktiviti ini tentu akan membuat mereka sibuk dan leka untuk sementara waktu. Kanak-kanak mana yang tak gemar bermain dengan belon dan sesi mewarna, kan? Selamat mewarna!


#blogomarhana #aktiviticutisekolah #cutisekolah2018 #belonpingpong

221 views

Cyberjaya. Malaysia

©2020 Measat Broadcast Network Systems and Digital Durian